Teka-teki mengenai gambar penyanyi serta pelakon Aqasha bersama seorang wanita yang tersebar di Internet dan blog hiburan baru-baru ini, akhirnya terungkai apabila Aqasha mengaku bahawa itu adalah gambar majlis pertunangannya.
“Saya telah bertunang pada 23 Mei yang lalu. Tunang saya bernama Baizura Sabri dan berusia 26 tahun. Dia berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja di Astro sebagai seorang editor,” jelas Aqasha ketika ditemui pada majlis sesi ramah mesra drama ‘Dendam Orang Minyak’ di Sri Pentas, Bandar Utama, Rabu lalu.
Menurut Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita pertunangannya itu, malah jauh sekali untuk menipu peminat-peminatnya.
“Saya rancang tak nak kecoh-kecoh sebab masa kahwin nanti baru saya nak beritahu. Tak ada istilah tunang senyap-senyap. Majlis ini saya buat secara kecil-kecilan saja, yang hanya dihadiri keluarga dan sanak saudara.”
Ekoran penyebaran gambar pertunangannya itu, Aqasha telah diburu pihak media untuk mendapatkan kesahihan berita ini, namun dia tidak dapat dihubungi dan dikatakan cuba mengelak dari memberikan sebarang komen.
“Saya tak melarikan diri. Saya sentiasa berada di set penggambaran dan bukan saya nak sembunyi. Tempoh penggambaran sudah cukup untuk membebankan diri saya,” ujarnya yang masih lagi sibuk menjalani penggambaran drama bersiri ‘Dendam Orang Minyak’.
Sebelum ini, aktor tampan yang pernah membintangi filem ‘V3: Samseng Jalanan’ ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Umie Aida dan penyanyi Tasha. Namun hubungan cinta mereka putus di tengah jalan.
Mungkin kerana pernah dikecewakan, Aqasha serik bercinta dengan selebriti dan kini memilih orang biasa sebagai calon isterinya.