DRH labur RM400j di Puteri Harbour
Destination Resorts and Hotels (DRH), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd mengumumkan dua lagi pembangunan utama dalam portfolio pelaburannya di Johor dengan nilai pelaburan melebihi RM400 juta.
Kedua-dua pembangunan iaitu Traders Hotel dan Little Red Cube, kompleks hiburan keluarga dan gaya hidup, yang terletak di Puteri Harbour, Nusajaya itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta mampu menarik sehingga 500,000 pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Pengarah Urusannya, Nadziruddin Basri, berkata pembangunan itu akan membantu merangsangkan ekonomi di kawasan sekitar, mewujudkan peluang pe-kerjaan bagi bakat tempatan, membangunkan kelompok profe-sional hospitaliti serta menambahkan lagi penawaran riadah di rantau ini.
Beliau berkata, sebagai salah satu pelaburan pelancongan dan riadah utama di kawasan selatan Semenanjung, Traders Hotel dan Little Red Cube akan membantu menjadikan Puteri Harbour sebagai destinasi pelancongan dan riadah baru di Johor.
“Sebagai satu pemangkin pembangunan sektor pelancongan dan riadah di Malaysia, ini adalah masa yang menarik bagi DRH. Pada November lalu, kami mengumumkan pembangunan projek riadah bersepadu mewah di Johor yang dikenali Desaru Coast. Hari ini, kami berbangga untuk memperkenalkan Traders Hotel dan Little Red Cube, pembangunan utama kami di Puteri Harbour,” katanya.
Usaha sama strategik DRH juga menjalin usaha sama strategik dengan kumpulan yang terkenal di dunia, Shangri-La Group, bagi mengurus Traders Hotel Puteri Harbour. Ia adalah jenama hotel antarabangsa pertama di Nusajaya dan dijangka beroperasi pada suku kedua tahun ini.
Mengenai Little Red Cube pula, DRH berkata, kompleks hiburan keluarga dan gaya hidup itu dibangunkan di kawasan seluas 1.68 hektar yang mana akan menempatkan ruang runcit mewah bercampur, riadah, makanan dan minuman dan hiburan.
Ia juga menempatkan taman tema yang baru dibuka, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, taman tema tertutup termasuk Hello Kitty Town dan Little Big Club, dengan tambahan LAT’s Place, iaitu restoran bertemakan animasi yang baru saja dibuka.
DRH menyediakan kepakaran relevan yang bertumpu kepada pelaburan, pembangunan, pengurusan dan pengawasan resorts, hotel dan tempat menarik mewah bertaraf dunia. Portfolio pelaburan utama kini termasuk Desaru Coast, Little Red Cube, Traders Hotel, LEGOLAND Hotel Malaysia dan Teluk Datai Langkawi.