yati@hmetro.com.my MELIHATKAN penampilannya yang masih jelita dan tampak muda, tidak diduga penyanyi pop terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya kini berusia 45 tahun. Malah, Ruth mengakui dia tidak melakukan pembedahan plastik dan penggunaan botox. Kata penyanyi lagu Kaulah Segalanya ini, tiada rahsia dalam penjagaan kecantikannya.
Ujar Ruth, dia hanya mengamal-kan minum jamu, bersukan, selalu bersyukur, berfikiran positif dan sentiasa berusaha dalam kehidupan sehariannya.
Ditemui pada sidang akhbar sempena penganjuran Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya di Hotel The Royale Chulan, kelmarin, Ruth berkata, dia cuma melakukan pembedahan plastik pada payudara sekitar 2005 kerana ingin lebih yakin pada diri.
“Saya membuat keputusan melakukan pembedahan itu bukan mahu menunjuk-nunjuk hebat tetapi sekadar meyakinkan diri dan lebih gembira. Pada saya, ia juga bukan satu kesalahan bagi seseorang wanita melakukan pembedahan kecantikan.
“Ini kerana saya yakin mereka mempunyai alasan tersendiri demi kepuasan diri. Apapun, saya sendiri setakat ini tidak lagi memerlukan penggunaan botox untuk kekal cantik,” katanya turut mengakui sentiasa senyum juga wajah boleh kelihatan muda.
Berbicara pula mengenai penganjuran konsertnya, Ruth berkata, selepas 25 tahun melayari karier nyanyiannya di negara ini, baru kini dirinya berpeluang dan memiliki ruang buat kali pertama muncul pada persembahan berskala besar hujung tahun ini.
“Jujurnya, saya sangat teruja untuk menjayakan Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya yang akan berlangsung pada 17 Disember nanti di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ini kerana, saya juga memiliki kelompok peminat yang ramai di sini.
“Sepanjang perjalanan karier saya, Malaysia juga sudah umpama rumah kedua kerana sering sangat diundang mengadakan persembahan di negara ini. Oleh itu, sekarang adalah masanya untuk saya melakukan konsert ini buat semua peminat,” katanya.
Menurut Ruth, dia mengharap-kan penganjuran konsertnya mendapat sambutan menggalakkan. Katanya, dia akan menghiburkan penonton dengan 30 lagu popular daripada 15 album yang pernah dihasilkannya selama dua setengah jam persembahan.
Terdahulu, sempena meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan seninya, Ruth sudah melakukan sesi jelajah konsert istimewa-nya itu di Indonesia pada 25 November 2010 serta Singapura (10 Jun lalu). Bahkan, kini dalam perancangan ke Brunei pula.
Dianjurkan A’caralis Kuala Lumpur Sdn Bhd, ia turut mendapat kerjasama daripada badan kebajikan, Anak Darul Aman Malaysia (ADAM). Malah, sebahagian hasil jualan tiket konsert ini disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan memerlukan.
Selain Ruth, penyanyi terkenal tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim juga akan tampil menghiburkan penonton dengan empat lagu. Ujar Ruth, dia sungguh berbesar hati dapat bergandingan dengan penyanyi tersohor Malaysia seperti Khadijah.
Sehubungan itu, bagi menyaksikan konsert ini tiket dijual pada harga RM1,500, RM588, RM388 dan RM128. Malah, untuk maklumat tiket boleh ke laman web
www.ilassotickets.com atau sebarang keterangan lanjut konsert, layari
www.meportal.net.kredit:hmetro